Dalam dua hari ni saja mood saya memang tak aman. Sudah dua kelas saya masuk dan saya naik angin. Saya bukan orang yang suka marah-marah. Mahu tinggi suara pun jarang. Pada kebiasaannya, kalau saya diam itu tandanya saya marah.
Puas saya sabarkan hati. Saya tabahkan hati. Saya cuba ikut rentak mereka. Saya bertolak ansur. Saya terima apa sahaja mengikut kemampuan mereka. Dan saya jauh sekali tidak mahu menyusahkan mereka.
Setiap kali saya langkah menuju ke mana-mana kelas, saya pasti akan menarik nafas panjang dahulu. Dan ingatkan diri saya sendiri berulang-ulang kali. S.A.B.A.R!
Tapi semalam dan hari ini tidak tahu hantu mana yang merasuk saya. Saya betul-betul marah. Saya betul-betul hilang sabar. Bayangkan...
Kelas 1: Pelajar masuk lewat ke kelas saya hampir setengah jam. Tak apa, saya sabar. Sebab mereka turun solat. Walaupun saya tahu ada yang merayau-rayau entah kemana. Tak apa. Saya tenang lagi. Masuk ke kelas, saya minta mereka keluarkan buku. Oh, ada yang tak ada lagi. Tak apa. Boleh kongsi. Saya tenang lagi. Saya minta mereka baca petikan secara perlahan. Dan bila sudah berkongsi, duduk rapat-rapat...mereka main dan bising. Perlu ke saya bertenang lagi?
Kelas 2: Saya masuk mereka bising. Bermain sana. Main sini. Tak apa. Saya tunggu sehingga mereka rasa mahu diam. Saya minta mereka keluarkan buku kerja mereka. Tahu berapa orang yang bawa? 8 orang dari 39 murid. Boleh saya bertenang lagi?
Saya tak tahu bagaimana yang mereka mahu lagi. Saya penat melawan rasa saya sendiri demi untuk keselesaan pelajar saya. Saya tak mahu jadi guru yang garang. Yang hanya tahu marah-marah. Tapi saya rasa guru yang begitulah selayaknya untuk mereka.
Saya mahu bantu mereka. Saya tak mahu mereka selamanya belajar di kelas hujung. Saya tak mahu mereka selamanya tidak tahu membaca. Tidak tahu menulis. Saya tak mahu mereka selamanya buta huruf. Saya tidak mahu mereka selamanya jadi orang yang tidak bijak. Saya tidak mahu mereka selamanya jadi manusia yang tidak tahu gunanya.
Saya bersungguh mahu membantu. Asalkan mereka boleh berjaya. Saya tak mahu mengajar dalam keadaan yang tegang. Dan akhirnya pelajar yang mahu belajar yang teraniaya.
Saya tidak tahu selama mana orang Melayu mahu terus dengan 'melayu'nya. Saya bukan menghina bangsa saya. Tapi remaja kita yang kini semakin memburukkan 'melayu'. Sehingga benar-benar menjadi layu. Hanya tahu mahu menjadi gengster. Gaduh sana. Gaduh sini. Belajar tak mahu. Biadap. Kurang ajar.
Bagaimana dengan ibu bapa mereka. Yang bersusah payah mencari rezeki untuk sekolahkan mereka. Dengan harapan yang menggunung. Tak pernah ke mereka terfikir tentang itu?
Semangat saya semakin pudar. Tiap kali saya memandang wajah-wajah yang mengecewakan saya. Tapi kaki saya terus melangkah. Kerana masih ada yang mengharapkan sesuatu daripada saya. Walaupun bilangan itu sedikit. Sangat sedikit.
Betapa sukarnya untuk mendidik...
Ateh setuju ngan akak..kesabaran teruji terutamanya masuk atau mengajar kelas hujung..mereka sndri yg tiada kesedaran..
ReplyDeletekadang-kadang perlu kaedah psikologi untuk mngajar pelajar-pelajar yang nakal sebegitu..
ReplyDeleteharap cikgu dapat bersabar erkk..
=)