“SAMPAI hati abang buat adik macam ni,” tangis Suci makin kuat.
“Buat apa?” soal Ayien pura-pura tak faham.
“Siapa Fatin tu abang? Kenapa dia call adik? Kenapa dia marah-marah? Kenapa dia cakap kita dah putus?,” soalan demi soalan laju keluar dari anak tekak Suci.
Lama Ayien diam di hujung telefon. Kelu dibuatnya. Ayien tak mampu hendak berkata apa-apa. Dia tahu segalanya telah terbongkar. Tapi dia tetap mahu mempertahankan hubungan mereka. Ayien terlalu sayangkan Suci. Walaupun dia berlaku curang dibelakang Suci, tapi dia tidak berniat langsung mahu meninggalkan Suci. Baginya Suci adalah segala-galanya.
“Kenapa abang diam? Apa hubungan abang dengan Fatin tu?,” tanya Suci sekali lagi. Tangisnya makin kuat.
“Fatin cakap apa dengan adik sebenarnya ni? Sampai adik jadi macam ni,” balas Ayien. Dia tekad untuk tidak mengaku salah. Demi menyelamatkan hubungan mereka.
“Apa yang Fatin cakap sekarang ni tak penting. Yang penting apa hubungan abang dengan dia. Itu lebih penting dan terlalu penting untuk adik,” Suci bersungguh. Dia mula rasa hilang sabar.
“Hubungan apa? Kita orang kawan biasa jelah. Adik janganlah fikir bukan-bukan. Janganlah dengar cakap orang lain. Adik kena percaya dengan abang,” Ayien pula yang bersungguh kali ini.
Di hujung telefon, wajah Ayien benar-benar menunjukkan rasa bersalah. Dia tahu, dia harus berlaku jujur pada Suci ketika ini. Tetapi dia tiada jalan lain. Dia harus menipu. Dia tidak mahu hubungan yang terjalin selama tiga tahun ini hancur sekelip mata kerana salahnya. Bagi dirinya, Fatin bukan siapa-siapa. Kehadiran Fatin dalam hidupnya tidak diundang. Tetapi kehadiran itu tepat pada masanya. Ketika Ayien berjauhan dengan Suci. Ketika Ayien sunyi apabila Suci terlalu sibuk dengan kehidupannya sendiri. Sehingga Ayien terasa diabaikan.
Lagipun semenjak dua tiga bulan kebelakangan ini, Suci tiada masa langsung untuk bertemunya. Meseg juga semakin jarang. Dalam sehari boleh dibilang dengan jari meseg dari Suci. Panggilannya juga jarang terjawab. Kalau sebelum ini, sebelum tidur Suci pasti tidak akan lupa ucap selamat malam kepadanya. Tetapi kini, tiada lagi ucapan itu bahkan balasan ucapan darinya juga jarang dia dapat. Pagi-pagi nanti baru terbalas. Itu pun kerana Suci mahu meminta maaf kerana dia tertidur. Itu sahaja alasannya.
Ayien tahu dan cukup percaya, Suci tidak akan curang kepadanya. Sepanjang dia mengenali Suci dan menjadi kekasih Suci, tidak pernah sekalipun Suci buat hal yang bukan-bukan. Kalau ada orang yang mahu mengenalinya, Suci pasti akan bercerita kepadanya. Suci tidak mahu ada salah faham antara mereka. Suci terlalu baik. Amat mustahil dia mahu melepaskan Suci.
“Dahlah tu. Adik janganlah menangis lagi. Walaupun abang tak tahu apa yang Fatin tu cakap kat adik, tapi adik percayalah... Itu semuanya tipu. Adik kena percayakan abang. Tak mungkin abang nak main-mainkan adik. Trust me,” pujuk Ayien. Dia mesti mendapatkan semula kepercayaan Suci.
Malam itu Suci tidak dapat melelapkan mata. Masing terngiang-ngiang ditelinganya suara Fatin yang sedang marah. Fatin mengajukan pelbagai soalan kepadanya. Soalan yang cukup menghancurkan perasaannya. Betul ke apa yang Fatin cakapkan siang tadi? Betul ke abang ada bagitahu pada Fatin hubungan kami sudah lama terputus? Betul ke abang dan Fatin sudah sebulan menjalinkan hubungan sebagai kekasih? Betul ke itu semua? Suci tidak tahu. Yang Suci tahu, Suci sangat sedih ketika ini. Dia tidak tahu yang mana satu harus dipercayainya. Fatin atau abang?
Suci cuba sekali lagi memejamkan matanya. Dia berharap dia mampu tidur lena malam ini. Lupakan segalanya. Makin dipejamkan matanya, wajah abang makin menghampirinya. Dia terlalu sayangkan abang. Dia tidak sanggup berpisah dengan abang. Khairul Azreel atau lebih dikenali dengan nama singkatnya Ayien, satu nama yang telah lama bertakhta di hati Suci. Satu nama yang terlalu dicintainya.
Panggilan abang dan adik adalah panggilan mesra bagi mereka. Ramai yang sering salah faham dengan panggilan itu. Tapi mereka selesa. Panggilan begitu lebih mesra dan ringkas bagi mereka. Hubungan yang terjalin bukan sahaja sebagai sepasang kekasih. Tetapi juga hubungan seperti abang dan adik. Seperti hubungan adik beradik. Abang bersikap matang dan Suci pula sedikit keanak-anakkan. Sebab itulah panggilan itu dirasakan sesuai untuk hubungan mereka.
Air mata Suci makin laju membasahi pipinya yang sedikit berisi. Dia tidak sangka dia akan merasa dugaan seperti ini. Dia tidak pernah terfikir langsung. Selama ini dia terlalu mempercayai abang. Sehingga kini pun, agak susah untuk berasa curiga dengan kejujuran abang dan kesetiaan abang. Tapi dia tidak mahu tertipu. Dia takut andai kepercayaannya kepada abang akan memakan dirinya sendiri. Akan membunuh perasaannya sendiri. Kalau betullah apa yang dikatakan oleh Fatin, dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Tinggalkan abang? Mampukah dirinya? Mampukah dia hidup tanpa abang? Suci benar-benar buntu.
Sememangnya, agak sukar untuk Suci mempercayai kata-kata Fatin. Apatah lagi dia langsung tidak mengenali Fatin. Suci bukan mudah untuk mempercayai orang lain. Lagi-lagi tentang perkara-perkara seberat ini. Selama ini, Suci tidak pernah mengambil kisah apa yang orang lain kata padanya. Mahu mempercayainya lagilah terlalu jarang. Kecuali jika cerita itu datangnya dari sabahat baik Suci. Rakan yang rapat dengannya. Hanya sahabatnya itu sahaja yang benar-benar dia percaya. Hanya sahabatnya itu jugalah yang boleh menjatuhkan atau mengenakan Suci dengan sebarang cerita.
Saat ini saat paling sukar bagi Suci. Tapi dia tahu, dia perlu memutuskan satu keputusan. Keputusan yang akan menentukan nasib hubungan mereka. Mungkin juga nasib Suci dimasa hadapan.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment
Tulis-tulis...nanti saya baca.