Pages

Tanpa Suara Tetap Boleh Didengari

Sunday, December 12, 2010

...Andainya Dia Tahu -1

“YES! Akhirnya suci dapat juga,” teriak Suci di halaman rumahnya.

“Dapat apa?” mak menyoal hairan.

“Dapat masuk U la mak,”

Suci terus berlari masuk. Dia membuka satu demi satu helaian surat di tangannya itu. Sambil menyanyi kecil. Hatinya amat gembira ketika ini.

Emak yang dari tadi memerhati Suci, turut masuk ke dalam rumah. Mak duduk di sébelah Suci.

“Dah sihat dah?” perli mak.

“Dah,” Suci terus asyik membaca surat tawaran itu.

“Tadi bukan main lagi cakap sakit perut. Siap ajak pergi klinik. Menangis jangan katalah. Ingat sakit sungguh-sungguh tadi. Bila dapat surat ni, terus sihat pula,” bebel mak.

“Tadi memang sakit. Sakit rasa macam nak mati je mak. Tapi sekarang dah okey. Kejap lagilah sambung sakit balik,” Suci tersenyum lebar.

Mak terus bangkit meninggalkan Suci yang masih asyik membaca satu demi satu surat tawaran ditangannya itu.

Sebenarnya mak begitu gembira sekali kerana Suci berjaya menjejakkan kaki ke universiti seperti yang diimpikan oleh Suci selama ini. Cuma mak tidak mahu terlalu menunjukkan kegembiraannya itu. Baginya banyak lagi dugaan yang perlu Suci lalui. Bukan mudah untuk hidup di sana. Dia kenal sangat dengan anak perempuannya yang seorang ini. Jiwanya terlalu lembut. Terlalu mudah mengalah dan berasa putus asa. Semangatnya tidak kuat. Itulah perkara yang dibimbangkannya kini.

Suci memandang wajah sayu maknya dari jauh. Dia bingkas bangun lalu mengekori langkah emaknya ke dapur juga. Dia duduk bersebelahan dengan maknya.

“Emak tak gembira ke?” tanya Suci.

“Mestilah mak gembira. Seorang lagi anak mak dapat masuk universiti. Ikut jejak abang dan kakaknya. Mestilah mak bangga,” mak tersenyum pahit.

“Mak tipulah. Dari tadi muka mak masam je,”

“Ish… Suci ni. Suka fikir bukan-bukanlah. Mak gembira sangat hari ni. Mak nak Suci belajar rajin-rajin. Sampai dapat ijazah tu,”

“Tang tu yang Suci malas tu. Nak kena belajar rajin-rajin. Kalau belajar biasa-biasa je tak boleh ke mak?” seloroh Suci memecahkan kesunyian.

Mereka sama-sama ketawa.

Mak dapat mengagak. Suci memang begitu. Akan cuba menghiburkan hati orang lain walaupun nyata dia sedang berkecil hati. Mak tahu, mungkin Suci terasa hati dengan tindakannya yang seperti tidak begitu gembira. Namun, bukan dirinya tidak gembira apabila anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bukan juga tidak gembira kerana runsing memikirkan soal kewangan yang diperlukan untuk membiayai pembelanjaan untuk Suci melanjutkan pelajarannya itu. Itu tiada masalah baginya. Tapi, mak tidak gembira kerana takut anaknya akan berputus asa kerana dia amat mengenali anaknya yang seorang ini. Semangatnya tidak kuat seperti anak-anaknya yang lain. Itulah yang paling emak risaukan.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Tulis-tulis...nanti saya baca.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...