Pages

Tanpa Suara Tetap Boleh Didengari

Wednesday, December 22, 2010

...Andainya Dia Tahu -15...

“SUCI...”

Suci berpaling. Berpaling pada arah suara yang memanggil namanya. Dari jauh dia melihat Alif melangkah laju ke arah dirinya.

“Malam ni jangan lupa datang meeting eh. Saya tak ada semangatlah nak buat mesyuarat kalau awak tak ada,” Alif tersenyum manis.

Sememangnya kadang-kadang Alif ini kacak juga bagi Suci. Tapi Alif memang seorang yang pelik. Kepelikkan Alif kadang-kadang membuatkan Suci bertambah keliru dengan perasaan Alif kepadanya. Apa sebenar yang Alif mahukan? Itulah persoalan yang sering bermain difikiran Suci.

Okey,” jawab Suci sambil meneruskan langkahnya.

“Hmm... awak marahkan saya lagi?” soal Alif tiba-tiba.

“Tak,” langsung tidak memandang ke arah Alif.

“Saya tahu awak tak ikhlas maafkan saya Suci. Saya tahu awak masih marahkan saya. Saya tahu awak masih membenci diri saya,” suara Alif sayu.

“Kalau dah tahu, kenapa mesti nak tanya lagi?” balas Suci sambil mendaki anak tangga perpustakaan universiti tempat dia menuntut ilmu satu demi satu.

“Sebab saya nak dengar dari mulut awak sendiri,” Alif terus mengikut langkah Suci. Ke mana sahaja arah Suci tuju, ke situ jugalah arahnya.

“Alif... Sudahlah tu. Aku dah penat dah nak layan karenah kau ni. Boleh tak kau jangan kacau aku lagi. Aku merayu kat kau.”

Wajah Alif terus berubah. Wajahnya menjadi kelat. Menjadi sayu. Seperti termakan dengan rayuan Suci. Seperti ada satu penyesalan di dalam hatinya kerana mengganggu Suci selama ini.

“Rayuan anda ditolak. Sila cuba lagi!” Alif ketawa.

Wajahnya yang sayu dan sedih sebentar tadi terus berubah menjadi wajah yang kemerah-merahan menahan gelaknya. Geli hatinya melihat wajah Suci ketika ini. Wajah yang sedang menahan rasa marahnya. Suci memang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Itu antara salah satu kelebihan Suci yang membuatkan semangat Alif untuk berkawan dengan Suci bertambah membuak-buak.

Suci hanya diam. Dia terus tunduk membaca notanya. Langsung tidak dihiraukan Alif yang berada di kerusi depannya. Alif juga begitu. Duduk sambil membaca notanya. Mereka seperti sedang mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Mereka seperti sudah menjadi kawan.

Tiba-tiba Suci bersuara. Memecah kesunyian antara mereka berdua. Suci memandang Alif yang sedang kusyuk membaca buku pelajarannya.

First camping kita ni aku tak nak satu kumpulan dengan kau,” Suci seperti merajuk.

“Siapa nak kumpulan dengan awak?” kata Alif bersahaja. Matanya masih memandang ke arah buku di depannya.

“Jangan tipu. Aku tahu kau yang susun kumpulan-kumpulan tukan? Kau yang letak nama aku sama kumpulan dengan nama kau,” Suci menarik buku Alif. Tanda meminta Alif mendengar apa yang dikatakan olehnya.

Alif memandang Suci. Dia tersenyum.

“Jangan nak perasanlah Suci. Bila masa pula saya yang susun nama ahli-ahli kumpulan tu? Awak dah lupa ke saya ni siapa? President tak buat kerja tu semua,” Alif tersenyum sinis.

“Lantaklah siapa pun yang susun. Yang pastinya aku tak nak satu kumpulan dengan kau. Aku bencilah dengan kau. Benci tau tak benci?” muka Suci mula merah. Menahan rasa malu bila Alif mengatakan dia perasan.

“Suka hati awaklah. Saya pun bukannya nak sangat kumpulan dengan awak. Dahlah lembik. Sikit-sikit menangis. Kejap lagi menyusahkan saya je. Cepat-cepatlah sikit minta keluar dari kumpulan saya tu,” balas Alif sambil menarik semula bukunya dari Suci.

“Kaulah yang patut keluar dari kumpulan tu. Apa pula aku,” Suci melepaskan buku Alif. Tenaga wanita sememangnya tidak sekuat tenaga lelaki.

“Tengok... Buku saya dah koyak sikit,” Alif mengerutkan keningnya sambil menggosok-gosok buku di tangannya.

“Padanlah muka. Siapa suruh sibuk duduk semeja dengan aku,” Suci menjelirkan lidahnya. Mengejek Alif.

“Oleh sebab awak dah koyakkan sikit buku saya ni, saya akan pastikan yang awak tak akan dapat ubah kumpulan. Awak tengoklah nanti,”

“Ooo... Sekarang nak ugut akulah ni? Kau ingat aku kisah sangat pasal kumpulan tu? Aku tak kisahlah sebenarnya,” Suci meninggikan sedikit suaranya.

“Baguslah kalau tak kisah. Kalau awak tak kisah, saya lagilah tak kisah. Nanti boleh sentiasa dengan awak. Dalam hutan pula tu. Seronoknya!” Alif ketawa kecil. Saja mahu mengusik Suci. Gadis yang berpura-pura berlagak angkuh.

Dia tahu Suci bukan begitu. Alif cukup pasti. Suci gadis yang baik. Gadis yang manja dan lemah lembut. Tapi sedikit lembik. Itulah yang membuatkan Alif bertambah suka mengusik Suci.

Suci memandang Alif. Sakitnya hati. Dia terus bangun. Tidak mahu melayan Alif lagi. Melayan Alif umpama membakar dirinya sendiri. Seperti menyakitkan hati sendiri. Mencabar kesabarannya. Cakap apa pun, mesti ada sahaja jawapan dari Alif. Kalau ikutkan hati Suci, mahu saja dia berkeras dengan Alif. Tapi dia sedar, dia seorang perempuan. Tidak elok pula berkelakuan seperti itu. Perempuan perlu tenang dan terus bersabar. Ini dugaan dari-Nya. Dugaan untuk berhadapan dengan manusia seperti Alif. Tuhan mahu menguji tahap kesabarannya. Mungkin.

“Awak nak pergi mana? Saya tak habis baca lagi ni,” Alif bersuara lembut.

“Hah?” Suci agak terkejut mendengar apa yang diperkatakan oleh Alif.

Kenapalah dengan si Alif ni. Aku ada ke janji nak belajar sama-sama dengan dia? Aku ada ke janji nak pergi perpustakaan sama dia? Aku ada ke janji nak tunggu dia habiskan bacaan dia tu? Tak adakan... Suci bersuara dalam hati kali ini.

“Saya cakap... Tunggulah sekejap. Nanti kita boleh pergi minum sama-sama. Makan ke apa ke. Yang penting kita sama-sama,” Alif senyum.

“Suka hati kaulah Alif. Makin aku layan kau. Makin aku tak faham dengan kau ni. Aku nak balik dah ni. Aku tak nak makan sama-sama ke, minum sama-sama ke, apa-apa yang sama-sama dengan kau,” Suci meniru suara Alif.

Alif ketawa. Orang lain yang berada disekeliling mereka hanya memandang gelagat mereka. Mereka juga mungkin tidak faham dengan hubungan’ antara Suci dan Alif. Tapi ada juga antara mereka yang berbisik sesama mereka. Apalah agaknya difikirkan oleh orang lain. Pasti ada yang beranggapan mereka sedang bercinta. Tapi hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana sebenarnya hubungan mereka kini. Seperti anjing dan kucing. Tidak tahulah yang mana satu anjing dan yang mana satu kucing.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Tulis-tulis...nanti saya baca.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...