Pages

Tanpa Suara Tetap Boleh Didengari

Sunday, December 19, 2010

...Andainya Dia Tahu -13...

“AKHIRNYA selesai juga pementasan teater kita kali ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala kerjasama yang telah anda berikan kepada saya selama kita berkerjasama. Mohon ampun dan maaf kepada semua sekiranya saya ada melakukan sebarang kesilapan, menyinggung perasaan mana-mana pihak. Mungkin saya tak sengaja,” kata Alif sebaik sahaja selesai pementasan teater arahannya.

Semua para pelakon diberi peluang untuk berkata sesuatu sebelum mereka berpisah. Inilah hari terakhir mereka berkerjasama setelah hampir dua bulan setengah mereka bergabung tenaga. Penat lelah bersama bagi memastikan teater ini berjaya dan mendapat pujian dari semua pihak.

Kini tiba giliran Suci untuk berkata. Alif memandang tepat ke arahnya. Wajah yang selama ini dia cuba lari. Semenjak kejadian tempoh hari, kira-kira dua minggu sebelum pementasan teater mereka, Alif dan Suci langsung tidak bertegur sapa. Malah, Alif juga seperti mengelak dari Suci. Begitu juga dengan Suci. Suci tidak banyak bercakap. Dia hanya diam ketika latihan. Bila tamat sesi latihan dia terus pulang. Tidak tunggu lama di situ. Mereka bagaikan benar-benar bermusuh. Membenci antara satu sama lain. Seperti tiada ruang lagi untuk mereka bermaaf- maafan.

“Terima kasih kepada semua untuk segalanya. Sorry for everythings. Kalau saya banyak buat salah,” Suci tersenyum kelat. Malas mahu berkata panjang lebar seperti pelakon-pelakon lain.

“Itu saja dari awak Suci?” soal salah seorang daripada barisan pelakon teater yang ada di situ.

“Yup! Itu saja,” Suci bingkas bangun nak meninggalkan mereka.

Pelakon-pelakon lain hanya memandang langkah Suci dengan penuh tanda tanya. Mungkin mereka faham mengapa Suci tidak begitu gembira. Faham dengan keadaan dirinya yang tidak banyak bercakap. Tidak begitu mahu bergaul dengan pelakon-pelakon lain. Mungkin juga mereka membenci diri Suci, merasakan Suci seorang yang sangat sombong. Tidak berdisplin. Tidak menghormati pengarah. Perasan bagus. Seperti kata Alif dua minggu lepas.

Suci langsung tidak menghiraukan apa tanggapan pelakon lain terharap dirinya. Bagi Suci, tugas sebagai tukang “tuang air” telah pun tamat. Dia telah pun menyelesaikan tugasnya dengan baik. Tiada setitis air pun yang tertumpah dari cawan. Dia lakukan babak itu dengan penuh berhati-hati supaya tiada sebarang kecacatan. Seperti yang diharapkan oleh pengarah yang dedikasi itu.

Dedikasi? Yaakkks...Meluat! Bisik hati Suci.

Mengenali Alif pada mulanya, tidaklah begitu membencikan pada Suci. Pernah juga hati Suci mahu menerima Alif sebagai kawannya. Sikap Alif yang bersungguh dan bersabar dengan tingkah laku Suci sedikit sebanyak telah membuka hati dan melembutkan hati Suci untuk berkawan dengan Alif. Tambahan pula, hanya Linda dan Alif sahaja yang mahu menegurnya di sini. Mahu berkawan dengan dirinya yang sememangnya tidak begitu bijak dalam memulakan perkenalan yang baru. Suci tidak begitu selesa dalam menghadapi suasana baru. Dia rasa terasing.

Namun, kejadian tempoh hari telah mengubah segala-galanya. Tiada lagi ruang untuk Alif. Alif tidak akan menjadi kawannya. Suci benar-benar benci pada Alif. Meluat melihat Alif. Ketika ini bagi Suci, mengenali Alif adalah satu mimpi ngeri. Mimpi yang perlu ditamatkan dengan segera. Agar jiwanya tidak terus terseksa. Agar mimpi indah pula boleh menyinggah dalam hidupnya. Kalau boleh, dia langsung tidak mahu mengenali Alif. Langsung tidak mahu.

“Suci! Tunggu sekejap,” jerit Alif dari jauh. Mengejar langkah Suci.

Suci langsung tidak menghiraukan panggilan Alif. Dia memang tidak mahu bersemuka lagi dengan Alif. Kata-kata Alif padanya masih lagi tergiang-giang dicuping telinganya. Dia masih ingat bagaimana dia menangis teresak-esak saat itu. Minta simpati daripada Alif agar tidak terus mengherdik dirinya.

“Suci... Dengar dulu apa yang nak saya katakan ni,” Alif menarik beg Suci.

Langkah Suci terhenti. Dia diam membatu. Langsung tidak memandang ke arah Alif. Dia benci dengan wajah itu. Dia benci dengan manusia yang tinggi lampai ini.

“Saya tahu awak marahkan saya. Saya tahu saya ada buat salah pada awak. Saya tahu awak bencikan saya. Saya minta maaf. I’m so sorry,” suara Alif sayu.

Suci terus tegak berdiri. Dia membatu. Sedikit pun dia tidak menghiraukan rayuan Alif. Apatah lagi mahu memandang wajah Alif. Hatinya benar-benar keras ketika ini. Riak wajah Suci biasa sahaja. Seperti dia langsung tiada perasaan simpati pada rayuan Alif. Walaupun selama ini, Suci memang dikenali sebagai gadis yang mempunyai rasa simpati pada orang lain yang sangat tinggi. Dia sangat mudah kasihan pada orang lain. Dia tidak boleh melihat orang lain susah apatah lagi sedih.

“Boleh tak awak maafkan saya Suci? Tolong jangan bencikan saya.”

Kali ini Suci memandang wajah Alif. Tidak sampai hati pula rasanya. Tetapi, rasa bencinya pada Alif lebih menggunung daripada rasa kasihannya.

“Kalau kau betul-betul nak minta maaf pada aku, bukan sekarang En.Alif... Ba, ta. Tapi dua minggu lepas. Kenapa baru sekarang bersungguh nak minta maaf? Sebab kau kesian tengok aku?” soal Suci tenang.

“Maafkan saya Suci. Bukan saya tak mahu cepat-cepat minta maaf pada awak. Tapi saya tak ada kekuatan untuk bersua muka dengan awak. Rasa bersalah saya pada awak sangat menebal. Tolong maafkan saya.”

“Semuanya dah terlambat. Tapi tak apalah En.Alif. Aku dah maafkan kau. Siapalah aku ni nak menghukum kau. Tapi untuk aku lupakan apa yang dah kau cakap pada aku. Apa yang dah kau buat pada aku, aku rasa aku tak mampu lagi. Mungkin suatu hari nanti,” Suci mula mengatur langkah untuk meninggalkan Alif.

“Boleh tak kita jadi kawan?” soal Alif lagi mematikan langkah pertama Suci.

Suci berpaling pada Alif. Hairan Suci melihat Alif. Ada juga manusia seperti Alif. Tak faham bahasa Melayu agaknya. Nak suruh cakap Mandarin mungkin. Tapi Suci pula yang tidak pandai berbahasa Mandarin.

“Aku dah maafkan kau. Tapi untuk aku bersikap neutral kat kau, nak buat macam tak ada apa-apa yang berlaku sebelum ini sangatlah mustahil. Aku harap kau faham,” Suci terus meninggalkan Alif yang hanya diam membatu seperti telah terkena sumpahan emak si Tanggang.

Suci langsung sedikit pun tidak menoleh kebelakang. Ketika ini dia Suci benar-benar berasa marah pada Alif. Bukan dia mahu bersifat pendendam. Tapi Suci hanya insan biasa yang pasti tak akan dapat lari dari berasa marah. Berasa benci. Itulah lumrah hidup sebagai seorang manusia. Rasa itu pasti ada pada semua makhluk. Cuma terpulang pada seseorang itu untuk mengawal rasa itu. Untuk meletakkan rasa’ itu ditempat yang betul atau sebaliknya.

Melihat wajah Alif pun agak sukar bagi Suci. Bencinya terlalu meluak-luak. Dia tahu, Alif sebenarnya seorang yang sangat baik. Orangnya kelakar. Pandai mengambil hati orang lain. Bijak. Siapa yang tidak mengenali Alif di sini. Sikapnya sangat menyenangkan orang lain. Dia sangat peramah. Alif antara senior yang sangat dikenali oleh junior. Alif seorang yang sangat aktif di universiti.

Wajah Alif pula tidaklah begitu kacak. Orangnya agak manis. Tinggi lampai dan agak kurus. Ramai juga yang meminati Alif. Mungkin. Suci tidak berapa pasti. Kerana selama ini Suci tidak begitu mengambil berat tentang Alif. Hanya melihat dari jauh dan kemudian membuat kesimpulan sendiri. Suci tidaklah terlalu meminati Alif atau begitu fanatik untuk rapat dengan Alif seperti yang dilakukan oleh sesetengah junior yang mungkin mahu mengambil kesempatan untuk berbaik dengan Alif agar secara tidak langsung mereka akan turut terkenal di universiti.

Siapa Alif tidak penting bagi Suci. Tinggi mana sekali pun nama Alif di sini, langsung tidak di hiraukan Suci. Suci bukan mengejar itu semua. Dia cuma mengharapkan sekeping hati yang ikhlas mahu berkawan dengan dirinya. Kerana Suci keseorangan di sini. Tapi sayang, Alif telah pun menghampakan harapannya. Dia berasa sedikit kecewa. Mungkin mereka tak akan menjadi kawan. Suci mahu melupakan Alif.

“Alif... tak mungkin aku akan dapat melupakan segalanya,” detik hati Suci.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Tulis-tulis...nanti saya baca.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...