Pages

Tanpa Suara Tetap Boleh Didengari

Tuesday, December 28, 2010

...Andainya Dia Tahu -17...

PAGI itu Suci bangun awal. Dia sebenarnya langsung tidak boleh lena malam tadi. Dia takut kalau dia terlena, dia akan terlajak tidur. Sudah pasti tak akan ada yang sudi mengejutkannya. Oleh sebab itu, dia tidak mahu mengambil risiko. Dia tidak mahu lambat ke dewan makan, pasti akan didenda nanti.

Tiba sahaja didewan makan, Suci terus mengambil tempat di meja yang tertera nama kumpulannya. Dia memandang sekeliling. Masih ramai lagi yang tiada. Mungkin masih awal lagi. Mungkin juga Suci yang terlalu awal.

Alif datang menghampiri Suci dengan membawa secawan teh dan sepinggan mee goreng. Dia menarik kerusi di sebelah Suci.

“Yang menung je kenapa? Pergilah ambil sarapan. Nanti orang ramai susah pulakan, kena beratur panjang,” Alif mengejutkan Suci.

Awalnya mamat sorang ni. Kalau bab makan... Laju gila!. Bisik hati Suci. Dia terus melangkah untuk mengambil makanan. Betul juga kata Alif. Nanti ramai orang kena beratur panjang.

Semasa di meja makan, Alif bergurau mesra dengan ahli kumpulan yang lain. Mereka memang sudah lama kenal agaknya. Suci hanya diam membisu disebelah Alif. Cuma sesekali Suci ketawa kecil dengan lawak mereka. Tetapi belum berani lagi mahu menyampuk apa yang mereka bualkan.

Layanan Alif pada Suci memang baik. Dia seperti sudah dapat mengagak perkara seperti ini akan berlaku kepada Suci. Namun, walaupun dia dapat melihat tingkah laku rakan-rakan perempuannya kepada Suci, sedikit pun dia tidak masuk campur. Apatah lagi mahu memburuk-burukkan rakan-rakannya dan membela Suci. Dia hanya buat tidak tahu. Seperti tiada apa yang berlaku. Suci buntu.

Selepas sarapan pagi, mereka semua masuk ke dalam dewan. Aktiviti pertama menyusuri hari mereka di sini. Suci tetap sama. Diam membisu. Dia hanya akan bercakap bila dipinta. Namun jauh disudut hatinya, dia tidak mahu terus begitu. Menjadi seorang yang pendiam. Tidak bergerak aktif dalam kumpulan. Itu bukan diri Suci yang sebenar. Tetapi keadaan yang memaksanya untuk mengubah perwatakannya.

Dia memandang Alif. Mengapa lelaki ini sering mengundang musibah pada dirinya? Lelaki ini banyak mengubah corak pergaulannya. Lelaki ini telah membuatkan orang lain salah anggap pada Suci. Semua kerana lelaki ini. Dia tidak tahu apa yang sebenarnya lelaki ini mahukan. Mungkin lelaki ini benar-benar mahu berkawan dengan dirinya. Tetapi dia selalu menyusahkan Suci!

Dia merenung Alif pula kali ini. Lelaki ini baik sebenarnya. Dia tidak sejahat mana. Walaupun dia sering menyusahkan Suci. Tapi Suci tahu, lelaki ini tidak berniat begitu. Mungkin lelaki ini tidak sedar apa yang telah dilakukan. Mungkin juga dia sedar tetapi dia tidak sengaja. Entahlah... Suci sendiri buntu. Dia tidak begitu mengenali Alif. Dia hanya mengagak. Anggapan dia tidak semestinya tepat belaka.

“Suci boleh tak aku nak duduk sebelah Alif kejap, ada benda yang aku nak bincang dengan dia,” suara Kariah mematikan lamunan Suci.

Suci memandang Kariah. Gadis ini memang dari mula penyertaan Suci dia tidak begitu menyenangi Suci. Suci tahu, Kariah tidak begitu menyukai dirinya. Kariah tidak mahu berkawan dengannya. Ini bukan anggapan Suci semata, tetapi inilah kenyataannya. Kalau dia mahu berkawan dengan Suci, masakan dia tidak menegur Suci langsung padahal katil kami tidur terletak bersebelahan. Bukan Suci tidak mahu menegurnya dahulu, tapi senyuman Suci langsung dia tidak pernah membalasnya.

Suci bingkas bangun. Beralih pada kerusi yang lain. Seperti patung Suci mengikut arahan dan pinta tuannya. Tanpa sebarang kata. Suci tidak kisah duduk di mana sekalipun. Di sebelah siapa sekalipun. Dia tidak kisah jika tidak duduk bersebelahan dengan Alif. Dia dengan Alif tiada apa-apa hubungan. Jadi dia tidak hairan.

Suci memerhati Kariah dan Alif dari belakang. Mereka memang cukup mesra. Bergelak ketawa bersama. Itulah Alif, ada masanya dia langsung tidak mengendahkan Suci. Ada masanya dia terlalu mengambil berat tentang Suci.

Biarlah. Ringkas hati Suci berkata. Untuk menyedapkan hatinya sendiri. Suci bangun. Malas dia mahu terus berada di dalam dewan. Lebih baik dia duduk di luar. Mengambil angin. Menghilangkan sedikit rasa buntunya. Lagipun, penyertaannya di dalam kumpulan ini tiada siapa yang pedulikan. Dia ada atau tiada sama saja bagi mereka.

Dia melihat sekeliling. Alam ciptaan Tuhan memang indah. Nyaman terasa udaranya. Lega sedikit perasaan gundah gulananya. Dia mahu segera pulang. Melepaskan diri daripada seksaan ciptaan manusia. Perkhemahan kali ini, bukan sahaja menguji fizikal Suci. Malah, mentalnya juga turut diuji. Hatinya meraung mahu pulang. Menamatkan segala ujian ini dengan secepat yang mungkin.

“Kenapa duduk kat luar ni? Kan aktiviti tengah berjalan tu,” soal Abang Edy.

“Jap lagi saya masuklah. Ambil angin sekejap,” Suci memandang Abang Edy. Dia berharap Abang Edy mengerti perasaannya ketika ini.

“Suci... abang tahu apa yang Suci rasa. Abang tahu Suci tak seronok kat sini. Sebab masa mula-mula nama Suci ada dalam nama senarai peserta pun, ramai yang tak puas hati. Sebab jarang ahli baru datang join perkhemahan macam ni. Selalunya kami akan dahulukan ahli lama dulu,” terang Abang Edy.

“Dah tu... Kenapa tak buang je nama Suci. Suci pun tak nak pergi kalau macam ni. Suci tak kisah pun,” suara Suci mula bergetar.

“Sebab Alif yang nak sangat Suci pergi. Abang Edy pun nak Suci pergi. Kami yang lelaki ni tak ada masalah sangat. Tak kisah siapa pun yang pergi. Cuma senior perempuanlah yang memilih sangat. Kalau junior yang pergi pun mesti sebab junior tu baik dengan dorang. Biasalah perempuankan...,” Abang Edy terus terdiam. Dia tidak menghabiskan katakan.

Mungkin dia mula rasa bersalah melihat bahu Suci yang sudah terhenjut-henjut laju. Suci menangis bersungguh-sungguh. Teresak-esak.

“Ala... Abang tak cakap pun kami semua ni tak sukakan Suci. Ni semua salah faham. Dahlah tu, jangan menangis lagi. Abang Edy tak pandai nak pujuk. Suci jangan menangis lagi,” pinta Abang Edy. Dia mula mengelabah.

“Siapa suruh Abang Edy pujuk. Tak apalah, Abang Edy pergilah masuk dewan dulu. Nanti kalau orang lain tengok kita duduk berdua macam ni tambah benci orang pada Suci,” Suci mengelap air matanya.

“Eleh... Takut orang lain nampak ke atau takut Alif nampak ni?” soal Abang Edy nakal. Dia terus ketawa sambil meninggalkan Suci.

Tidak lama kemudian, Suci mengikut langkah Abang Edy. Masuk ke dalam dewan. Ketika melangkah masuk semua mata memandang ke arahnya. Dia tidak memperdulikan pandangan-pandangan itu. Suci seperti telah lali dengan semua itu. Dia terus mengambil tempat.

“Pergi mana tadi?” tegur Alif. Menarik kerusi sebelah Suci.

Tindakan Alif itu diperhatikan sahaja oleh Kariah. Dia menjeling ke arah Suci. Mungkin Kariah menyukai Alif. Suci membuat anggapan sendiri untuk sekian kalinya.

“Dah habis bincang dengan Kariah dah?” soal Suci seperti sedikit cemburu.

“Dah lama dah habis. Bukan bincang apa pun. Awak pergi mana tadi? Jumpa Edy buat apa?” soal Alif sekali lagi tidak puas hati.

“Mana tahu pergi jumpa Edy?” Suci sedikit terkejut.

“Saya tahulah. Kat dalam dewan ni banyak mulut yang boleh bercakap dan banyak mata yang boleh memandang,” Alif memandang tepat ke wajah Suci.

“Mana adalah jumpa Edy. Duduk kat pondok luar tadi. Edy yang tiba-tiba datang,” jawab Suci mengikut kehendak soalan Alif.

“Iyalah tu...,” Alif bersuara perlahan. Merajuk.

“Kau nak merajuk apa hal?” Suci mengerutkan keningnya. Tidak faham.

Alif terus bangun. Dia tidak memperdulikan soalan Suci itu. Dia terus berlalu meninggalkan Suci yang terpingga-pingga.

Suci tidak mengikut gerak langkah Alif. Hanya anak matanya sahaja yang mengekori langkah Alif itu. Mungkin Alif benar-benar merajuk dengan Suci. Tapi kenapa pula dia nak terasa kalau Suci pergi berjumpa dengan Edy? Suci sendiri tidak begitu pasti. Mungkin Alif menyukai Suci. Tapi Alif belum layak bertindak begitu. Dia bukan sudah menjadi kekasih Suci. Kalau sudah menjadi kekasih sekalipun, Alif tetap tidak boleh bertindak begitu. Dia perlu mempercayai Suci dan menyiasat terlebih dahulu. Bukan hanya mendengar cerita orang lain. Tanpa usul periksa terus menjatuhkan hukuman. Itu tidak adil.

Kenapa mesti jadi begini? Kenapa mesti Suci terus diuji. Suci sedikit terkilan dengan sikap Alif. Setiap kali dia baru hendak menerima Alif sebagai kawannya, setiap kali itu hajatnya pasti terpaksa dilupakan. Kerana setiap kali itulah, ada sahaja perkara yang dilakukan oleh Alif yang membuatkan mereka tidak boleh berbaik. Suci hairan dengan takdir sebegini. Suci tidak faham. Mengapa dia dan Alif langsung tidak boleh berbaik. Tidak boleh menjadi kawan.

Alif... Satu nama yang agak ringkas. Tetapi orangnya sangat sukar difahami. Sukar difahami oleh Suci. Apa kehendak Alif tidak mudah untuk difahami. Mungkin Alif adalah antara dugaan yang paling besar dalam hidup Suci yang dikurniakan oleh-Nya untuk menduga Suci. Bukan Suci mengeluh dengan dugaan Tuhan, cuma dia berharap agar dugaan ini akan cepat-cepat beransur pergi. Semoga dia tetap tabah dengan dugaan ini. Semoga kesabarannya tetap tinggi menggunung.

Semenjak kejadian itu, Alif tidak lagi menegur Suci. Makan pun tidak lagi di sebelah Suci. Alif memang seorang yang sangat sensitif. Suci hanya memandang Alif dari jauh. Alif jarang sudah menyertai aktiviti kumpulan. Dia banyak bercampur dengan kumpulan pengurusan yang menguruskan kem ini. Mungkin dia tidak mahu lagi menjadi peserta biasa. Peserta yang sentiasa menemani Suci.

Dia seperti mahu melarikan diri. Dia tidak lagi mengendahkan Suci. Suci masih ingat, ketika aktiviti mendaki, kaki Suci terseliuh akibat terjatuh. Alif langsung tidak mengendahkannya. Bila difikirkan, kalau benar Alif mengambil berat tentang Suci seperti yang dikatakannya, tentu dia tidak sampai hati membiarkan Suci sendirian ketika itu. Ketika itu, Suci tidak lagi menangis. Dia sudah cukup faham dengan Alif mungkin. Alif orang yang sangat keras hati. Dia bukan mahu kumpulkan kekuatan sebenarnya seperti yang dia katakan suatu masa dahulu, tapi dia sebenarnya seorang yang sangat ego.

Suci tidak tahu sikap ego itu kelemahan atau kelebihan bagi seorang lelaki. Tapi sememangnya lelaki dikenali sebagai manusia yang mempunyai ego yang sangat tinggi. Mungkin setinggi Gunung Everest. Mungkin juga lebih tinggi dari itu. Setinggi langit yang terbentang luas membiru.

Sekali lagi Suci dan Alif seperti bermusuh. Tidak bertegur sapa. Mereka hanya berjumpa jika ada urusan kelab. Alif hanya akan bercakap dengannya ketika perlu sahaja. Setiap kali meeting kelab seboleh-bolehnya Suci cuba untuk mengelak dari berurusan dengan Alif.

Biarlah Alif dengan caranya. Suci tidak mahu mengganggunya atau memujuknya. Kerana Suci tidak merasakan itu perlu dilakukan olehnya. Dia percaya, mungkin setakat ini sahaja ujian Tuhan kepada dirinya. Seperti yang selalu Suci doakan selepas dia selesai menunaikan solat. Minta dijauhkan dari Alif jika benar Alif ini tidak sesuai berkawan dengannya. Jika Alif dan dia sesuai berkawan, minta dipermudahkan segala urusan mereka dalam perhubungan itu. Suci redha segalanya.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Tulis-tulis...nanti saya baca.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...